Pasaran buruh Islam_di_Jerman

Latar belakang agama seseorang pekerja tidak direkodkan di dalam perangkaan pekerjaan Jerman. Oleh itu, anggaran hanya boleh dibuat berdasarkan negara asal. Kadar pengangguran kekal dua kali lebih tinggi untuk orang-orang bukan Jerman.[14][15] Di sesetengah negeri, kadar pengangguran dalam kalangan belia Muslim dianggarkan sekitar 30%.[16] Warganegara Turki adalah yang paling teruk keadaannya. Malah, jika dibandingkan dengan golongan yang tidak mempunyai kelayakan, lebih banyak pendatang asing (tiga suku) berbanding orang-orang Jerman (satu pertiga) yang menganggur.

Bagi golongan yang mempunyai kelayakan rendah, sistem ini tampak bergerak dengan lebih baik. Belia-belia dengan latar belakang pendatang bertumpu dalam pekerjaan kurang mahir dan separa mahir. Mereka sering menerima latihan dalam pelbagai bidang kerjaya seperti dalam industri (perlombongan, tekstil, pembuatan kereta), perdagangan, kraftangan atau bekerja sendiri, contohnya dalam bidang penyediaan makanan. Golongan ini, walau bagaimanapun, tidak banyak yang diambil bekerja dalam perkhidmatan awam. Pemudi-pemudi Muslimah, yang sering mempunyai peluang rendah berbanding pemuda-pemuda, kebanyakannya bekerja sebagai pendandan rambut, pembantu doktor gigi atau setiausaha perubatan.

Secara keseluruhannya, pendatang-pendatang Muslim menghadapi halangan-halangan yang sama dengan kumpulan pendatang lain dalam pasaran buruh Jerman. Halangan tersebut adalah diskriminasi tidak langsung dan diskriminasi secara langsung kerana taraf kediaman mereka yang tidak terjamin dan ketiadaan kerakyatan.[16] Golongan yang tidak mempunyai kerakyatan selalunya hanya layak bekerja jika tiada penganggur Jerman atau rakyat negara anggota EU lain yang boleh dicari untuk pekerjaan itu. Oleh itu, dalam konteks kadar pengangguran yang tinggi, mencari pekerjaan menjadi semakin rumit bagi pendatang Muslim. Pengambilan bekerja dalam sektor perkhidmatan awam juga dikekang oleh ketiadaan kerakyatan di kalangan pendatang. Oleh itu, hanya terdapat sedikit bilangan pegawai polis contohnya, yang mempunyai latar belakang seorang Muslim. Pemohon suaka kadangkala tidak diberi permit bekerja atau menghadapi tempoh menunggu yang panjang sebelum kebenaran diberikan. Sebelum tahun 2004, pendatang-pendatang asing yang menetap di Jerman dibenarkan bekerja selepas tempoh lima atau enam tahun dicapai. Undang-undang baru bagi mengawal imigesen (Bahasa Jerman: Zuwanderungsgesetz) memberikan kebenaran ini kepada golongan pendatang asing seperti pelarian atau pemohon suaka yang diterima masuk.[11]

Orang-orang Islam di Jerman sememangnya menghadapi halangan dalam pekerjaan. Tetapi, diskriminasi lebih banyak terjadi dalam pekerjaan separa mahir berbanding yang berkelayakan tinggi. Dalam pekerjaan separa mahir, malah juga pekerjaan berkelayakan tinggi, pekerja-pekerja Muslim sering menghadapi sikap tidak toleran terhadap tanggungjawab agama mereka seperti menunaikan solat Jumaat dan solat harian selain kantin yang lazimnya tidak menyediakan makanan halal, memandangkan tiada undang-undang dalam hal sebegini.

Anggota-anggota sesetengah pertubuhan Islam pula, walaupun sah dari segi undang-undang, dilabel sebagai "Islamis" dan diketepikan dariapada beberapa bidang kerjaya seperti kakitangan awam dalam perkhidmatan keselamatan. Dalam bidang sebegini, satu permohonan am perlu dibuat di Pejabat Persekutuan bagi Perlindungan Perlembagaan (BfV).[17] Pekerja-pekerja Muslimah pula sering menghadapi halangan lain seperti larangan memakai tudung.

Rujukan

WikiPedia: Islam_di_Jerman http://www.destatis.de/jetspeed/portal/cms/Sites/d... http://demo.ebiz-today.de/gesellschaft/islam,149,D... http://www.neue-oz.de/etc/_search/search.php?q=178... http://www.paderborn.de/microsite/integration/down... http://www.remid.de/remid_info_zahlen.htm http://www.spiegel.de/politik/deutschland/0,1518,1... http://www.welt.de/politik/deutschland/article9073... http://www.euro-islam.info/spip/IMG/Enrwurf_Fruhja... http://www.campaigniran.org/casmii/index.php?q=nod...